Pada setiap tahun, apabila tiba 'musim haji', beribu-ribu umat Islam pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Salah satu rukun yang terdapat dalam fardu haji ialah tawaf atau mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
Kaabah yang terletak Kota Mekah digelarkan sebagai Rumah Allah (Baitullah). Hal ini demikian kerana pada suatu masa dahulu, Allah S.W.T. telah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. supaya membina Kaabah. Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s. lalu membina Kaabah tersebut. Sejak itulah Kaabah menjadi tempat untuk melakukan ibadat tawaf.
Namun, sesudah Nabi Ibrahim a.s. wafat, ajaran yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s. supaya menyembah dan mengesakan Allah S.W.T., lama-kelamaan diabaikan oleh kebanyakan manusia.
Mereka kembali menyembah patung-patung berhala, pokok, haiwan, matahari, dan lain-lain lagi. Bahkan, di dalam Kaabah, mereka turut meletakkan berbagai-bagai jenis berhala untuk disembah. Mereka hidup dalam kesesatan dan kejahilan yang nyata.
Namun demikian, Kaabah masih tetap dikunjungi oleh orang ramai yang datang dari merata-rata tempat. Oleh yang demikian, Kota Mekah menjadi sangat masyhur dan maju kerana di kota itu terdapat Kaabah.
Di negeri Yaman pula, terdapat seorang pemerintah bernama Abrahah. Dia berasa sangat iri hati kerana Kota Mekah menjadi begitu masyhur dan maju. Dia mahu negerinya menjadi lebih masyhur dan maju daripada Kota Mekah.
Oleh itu, Abrahah lalu memerintahkan rakyatnya supaya mendirikan sebuah Kaabah untuk menandingi Kaabah yang terdapat di Kota Mekah. Bahkan, 'Kaabah Yaman' jauh lebih cantik daripada Kaabah di Kota Mekah itu. Malah, di dalam 'Kaabah Yaman', terdapat pelbagai peralatan dan barangan yang sangat mahal harganya.
Namun demikian, Abrahah berasa sangat kecewa. Tidak ramai orang datang untuk melakukan ibadat di 'Kaabah Yaman'. Malah, rakyat di negerinya sendiri pun lebih suka mengunjungi Kaabah di Kota Mekah. Marahlah Abrahah bukan kepalang.
'Kaabah Yaman' itu bukan sahaja tidak dikunjungi ramai, malah turut dirosakkan dan dikotorkan dengan najis oleh orang yang berpura-pura mengunjunginya. Malah, banyak pula peralatan dan barangan yang mahal di dalamnya telah dicuri orang. Oleh yang demikian, kemarahan Abrahah tidak dapat dibendung lagi.
Akhirnya, Abrahah mengambil keputusan untuk menyerang Kota Mekah. Tujuannya ialah ingin meruntuhkan Kaabah yang terletak di Kota Mekah itu. Dia percaya, sekiranya Kaabah di Kota Mekah itu berjaya diruntuhkan, tentulah orang ramai akan datang mengunjungi 'Kaabah Yaman' pula.
Tanpa berlengah lagi, Abrahah terus mengumpulkan angkatan tenteranya. Bahkan, angkatan tenteranya sangat luar biasa kerana turut disertakan dengan kumpulan gajah. Oleh yang demikian, angkatan tentera Abrahah ini terkenal dengan sebutan angkatan tentera bergajah.
Abrahah sangat yakin bahawa cita-citanya untuk meruntuhkan Kaabah di Kota Mekah itu akan berjaya. Jumlah tenteranya sangat ramai. Tambahan pula, angkatan perangnya mempunyai barisan gajah yang perkasa. Tentulah tiada siapa pun berani melawan angkatan tenteranya.
Abrahah lalu memimpin angkatan tenteranya menuju ke Kota Mekah. Di segenap tempat yang dilalui oleh angkatan tenteranya, orang ramai bertempiaran melarikan diri. Tiada siapa berani menghalang kemaraan angkatan tenteranya.
Oleh yang demikian, hebohlah berita di kalangan penduduk Tanah Arab mengenai kedatangan angkatan tentera Abrahah. Malah, berita itu akhirnya sampai ke pengetahuan penduduk Kota Mekah. Mereka berasa sangat cemas. Mereka sudah tentulah tidak berdaya untuk mengalahkan angkatan tentera Abrahah. Lebih-lebih lagi kerana angkatan tentera Abrahah turut mempunyai barisan gajah yang perkasa.
Abdul Mutalib, iaitu datuk kepada Nabi Muhammad S.A.W., yang menjadi pemimpin di Kota Mekah turut mengetahui berita itu. Beliau berasa sangat dukacita kerana Abrahah mahu melanggar Kota Mekah dan meruntuhkan Kaabah. Beliau tahu, sekalian penduduk Kota Mekah tidak akan berupaya menghalang cita-cita jahat Abrahah itu.
Tanpa membuang masa lagi, Abdul Mutalib lalu segera mengarahkan penduduk Kota Mekah supaya menyelamatkan diri masing-masing. "Wahai penduduk Kota Mekah! Selamatkan diri kamu semua. Pergilah kamu semua berlindung di atas bukit," seru Abdul Mutalib kepada para penduduk Kota Mekah.
Penduduk kota Mekah bergegas keluar dari Kota Mekah. Mereka patuh pada arahan Abdul Mutalib. Mereka pergi ke bukit-bukau yang terletak di tepi Kota Mekah. Mereka cuba mencari perlindungan di atas bukit-bukau itu.
Thursday, February 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment